Jemaah Menteri hari ini mengarahkan agensi penguat kuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat dalam pakatan memaksa pengambilalihan syarikat, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata keputusan itu dibuat selepas menteri diberikan taklimat mengenai laporan media berhubung perkara tersebut.
“Mesyuarat dimaklumkan bahawa siasatan terhadap beberapa individu (berkaitan manipulasi pengambilalihan korporat) telah bermula beberapa tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Fahmi berkata arahan itu melibatkan polis, Suruhanjaya Sekuriti, SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya meneruskan siasatan secara menyeluruh tanpa mengehadkan skop kepada individu yang sedang disiasat ketika ini.
Beliau berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya jika perlu, termasuk menyita hasil yang dipercayai mempunyai unsur jenayah serta meneliti undang-undang bagi mengenal pasti sebarang kelompongan yang mungkin membolehkan manipulasi korporat berlaku.
Laporan Bloomberg sebelum ini mendakwa pegawai SPRM merupakan sebahagian daripada pakatan yang menyediakan ‘perkhidmatan’ ugutan seperti serbuan bagi memberi tekanan kepada eksekutif perniagaan supaya menjual pegangan saham mereka.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan laporan tersebut.






