Polis serbu makmal, stor dadah di Melaka, 5 ditahan

POLIS berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah kediaman sebagai makmal dan stor simpanan dadah selepas menyerbu tiga buah rumah di Melaka Tengah, minggu lalu.

Dalam serbuan itu, polis menahan lima individu iaitu empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 55 tahun, selain merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM86.78 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 23 hingga 55 tahun ditahan dalam serbuan pada 6 dan 8 Mac lalu.

Menurutnya, dua lelaki dan seorang wanita ditahan bersama beg berisi 12 bungkusan pil Erimin 5 seberat 1.73 kilogram (kg) dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres di Taman Puncak Bertam.

DATUK Hussein Omar Khan (tengah) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas, dalam sidang media di IPK Melaka hari ini. GAMBAR: JSJN Bukit Aman

Tambahnya, disusuli serbuan kedua di Taman Kenanga pada 8 Mac, dua suspek ditahan, manakala 10.88kg cecair dan 2.75kg serbuk MDMA (3,4 methylenedioxymethamphetamine) bersama sejumlah kecil pil Erimin 5, ekstasi serta ketamin dirampas.

Beliau berkata, 274.08kg cecair dan 303.85kg serbuk MDMA, 1kg ketamin, 170g pil ekstasi dan 150g pil Erimin 5 ditemukan dalam serbuan ketiga di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Satu Krubong yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah.

“Keseluruhannya, polis merampas cecair MDMA seberat 284.96kg, serbuk MDMA (306.60kg), pil Eramin 5 (1.88kg), ketamin (1.01kg) dan pil ekstasi (170g) yang dipercayai boleh digunakan kira-kira 1.1 juta penagih,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, lapor Harian Metro.

Hussein berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan menyasarkan pengunjung pusat hiburan, khususnya di Melaka.

“Mereka juga dipercayai membeli air minuman botol berjenama di pasaran sebelum disuntik pelbagai jenis dadah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa dan dijual antara RM300 hingga RM500 sebotol.”

Jelasnya, suspek pertama dan kedua menjadi koordinator, suspek ketiga sebagai penjaga stor, manakala suspek keempat serta kelima berperanan sebagai ‘runner’.

Katanya, suspek pertama hingga ketiga direman tujuh hari sehingga esok, manakala suspek keempat dan kelima direman lima hari hingga Jumaat ini.

Beliau berkata, suspek pertama dan keempat mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes dadah, manakala suspek kelima disahkan positif methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan harta bernilai RM38,000 termasuk sebuah Proton Iriz dan motosikal Yamaha Y15 disita.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img