’Kami jadi puluhan kali lebih kuat’’, kata penasihat pemimpin tertinggi Iran

PENASIHAT kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Mejar Jeneral Yahya Rahim Safavi dalam satu wawancara televisyen memberikan penilaian strategik dan menolak keberkesanan serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.

Safavi menyifatkan penglibatan tentera  Amerika Syarikat (AS) ketika ini sebagai satu kesilapan strategik yang didorong oleh pengaruh Israel.

Mejar Jeneral Yahya Rahim Safavi

“Analisis politik saya ialah Donald Trump telah menjadi boneka di tangan Netanyahu; beliau mengorbankan Amerika demi rejim Zionis,” kata Safavi dalam wawancara dengan WANA.

Beliau turut menyatakan bahawa di  AS sendiri, ramai ahli politik mempersoalkan mengapa wang pembayar cukai dan nyawa tentera AS dikorbankan demi kepentingan Netanyahu.

Safavi berkata, Netanyahu telah memberikan “maklumat palsu dan anggaran yang salah” dalam mesyuarat-mesyuaratnya  dengan andaian bahawa Republik Islam itu telah menjadi lemah selepas “Perang 12 Hari”.

Sebaliknya, tegas Safavi, “Kami telah menjadi puluhan kali lebih kuat.”

Safavi melabel kepimpinan AS dan Israel sebagai “kejahatan mutlak” terhadap keselamatan global dan umat Islam.

“Kami telah menjangkakan bahawa selepas Perang 12 Hari, mereka akan kembali terlibat dengan tipu daya dan penipuan,” ujar Safavi.

Pusat radar terbesar milik Amerika Syarikat bernilai RM4.3 bilion yang musnah akibat serangan balas Iran di Teluk Parsi..

Beliau menjelaskan bahawa walaupun dasar Iran adalah untuk menunjukkan komitmen terhadap keamanan dan dialog kepada dunia, pada masa yang sama negara itu meningkatkan keupayaan serangannya.

“Seiring diplomasi, kami meningkatkan kuasa pertahanan kami—khususnya kuasa serangan peluru berpandu dan dron – sebanyak sepuluh kali ganda,’’ katanya.

Safavi turut menekankan keluasan capaian risikan Iran, dengan mendakwa bahawa Kementerian Perisikan dan organisasi keselamatan lain mempunyai “pengawasan sepenuhnya” terhadap sasaran musuh.

“Kami mempunyai maklumat lengkap mengenai objektif musuh di sekitar Iran, serta sasaran Amerika dan Israel. Kami bahkan mengetahui lokasi mesyuarat Netanyahu; pangkalan data risikan kami adalah lengkap,” katanya.

Mengenai serangan terbaru ke atas wilayah Iran, Safavi mendedahkan bahawa pihak tentera telah berjaya menjangkakan serangan tersebut.

“Pusat-pusat peluru berpandu telah dikosongkan sebelum serangan… mereka memusnahkan bangunan dan pusat yang kosong tanpa anggota, pasukan IRGC dan Basij. Tiada sesiapa berada dalam bangunan tersebut,’’ katanya.

Beliau berhujah bahawa AS dan Israel beroperasi berdasarkan “anggaran strategik yang gagal” dengan matlamat untuk menjatuhkan Republik Islam, memecah-belahkan negara, dan memaksa penyerahan sepenuhnya.

“Mereka mahu mengembalikan Iran ke era Shah dan menguasai minyak serta ekonomi rantau ini,” katanya.

 Namun, Safavi menyatakan keyakinan penuh terhadap ketahanan negara, dengan menegaskan bahawa sepanjang 47 tahun lalu, rakyat dan angkatan bersenjata Iran semakin bersatu.

“Sistem politik kami tersusun dan mempunyai keupayaan untuk penjanaan semula, fleksibiliti dan pembinaan semula,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img