Salah seorang anak Daim sudah hubungi SPRM – Azam Baki

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang daripada empat anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin sudah menghubungi agensi itu berhubung kes yang sedang disiasat menerusi Op Godfather.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bagaimanapun tiga lagi anak kepada bekas Menteri Kewangan itu masih belum dikesan.

“Setakat ini, seorang daripadanya baru hubungi kami, (namun) tiga yang lain kita tidak tahu keberadaan mereka.

“Kita sudah cuba (mengesan) melalui pihak peguamnya untuk menghubungi ketiga-tiga mereka yang lain supaya hadir secepat mungkin ke pejabat kita,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

SPRM sebelum ini mengumumkan sedang mengesan empat anak Allahyarham Daim bagi membantu siasatan kes dijalankan.

Kesemua empat anak Allahyarham ialah Asnida Abdul Daim, Md Wira Dani Abdul Daim, Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim.

Notis Kesan Individu dikeluarkan ke atas kesemua mereka susulan kegagalan memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan SPRM berkaitan pengisytiharan aset.

SPRM berkata, notis itu dikeluarkan selepas tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi keempat-empatnya tidak berjaya setakat 26 Februari lalu.

Ditanya lanjut mengenai siapa anak Daim yang sudah menghubungi SPRM, Azam mengesahkan individu itu ialah Md Wira Dani Abdul Daim.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada SPRM terbabit dalam siasatan dakwaan wujud pihak yang ingin menjatuhkan kerajaan, Azam menegaskan agensi diterajuinya tidak terbabit dalam siasatan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, SPRM sedia membantu jika diperlukan.

“Saya tidak terbabit (dalam siasatan), SPRM (juga) tidak terbabit dalam siasatan.

“Tapi saya beri jaminan kepada Ketua Polis Negara, apa-apa yang diperlukan daripada pihak kami, kami sedia membantu,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img