SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengalami kecederaan parah selepas dipercayai didera oleh ibu kandungnya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Sentul, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.53 malam, 2 Januari lalu.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai didera oleh ibu kandungnya yang berusia 21 tahun.
“Mangsa mengalami kesan kecederaan yang teruk dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan pemeriksaan serta rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan suspek dan permohonan reman ke atas wanita berkenaan telah dibenarkan selama enam hari bermula 3 hingga 8 Januari bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan masih dalam siasatan.


