Pegawai dan anggota polis Bachok minta rasuah RM6,000 daripada keluarga suspek sedang disiasat

POLIS Kelantan sedang menyiasat dakwaan seorang pegawai dan beberapa anggotanya dari Balai Polis Bachok meminta wang sebanyak RM6,000 daripada keluarga seorang suspek dadah pada 30 Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan dalaman dilakukan serta-merta pada hari kejadian membabitkan kesemua mereka yang dikaitkan dengan kes itu.

“Siasatan dalaman bermula pada hari kejadian, susulan dakwaan bahawa pegawai dan anggota terbabit meminta wang serta mengugut ibu suspek untuk menyerahkan bayaran,” katanya.

Baru-baru ini, bekas Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohammad Zin memuji Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin yang mengambil tindakan segera terhadap anggota polis yang didakwa terlibat dalam kes rasuah.

Menurut Bahri, dalam kejadian pada 30 Disember lalu itu, seorang ibu dari Kuala Nerus, Terengganu mengadu kepadanya bahawa anak lelakinya ditahan sekumpulan anggota polis di Bachok kerana disyaki memiliki dadah.

Katanya, anggota polis terbabit didakwa meminta RM6,000 daripada wanita berkenaan dan mengugut anaknya akan dipenjarakan serta didakwa keesokan harinya jika bayaran tidak dibuat sebelum tengah malam.

Bahri berkata, selepas mendapat aduan daripada wanita itu, dia telah menggunakan seorang awam yang juga rakannya untuk menghubungi Mohamad Ismail bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, siasatan masih berjalan dan tindakan akan diambil terhadap pegawai yang didakwa terbabit dalam insiden itu.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya dakwaan itu terbukti benar.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img