JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghadapi kesukaran untuk memadamkan kebakaran sebuah kilang plastik di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam di Shah Alam, Selangor hari ini.
Ini kerana bahan yang terbakar dikenal pasti sebagai resin atau bahan asas plastik yang digunakan dalam pengeluaran produk kilang berkenaan.
Selain itu, kebakaran mengambil masa untuk dikawal kerana sifat bahan polimer atau plastik itu sendiri yang sukar dipadamkan menggunakan air.
Pasukan itu juga terpaksa mengambil masa sekurang-kurangnya lima jam untuk memadamkan kebakaran kilang terbabit.
Pengarah JBPM Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, sehingga pukul 5 petang tadi, api 90 peratus sudah dipadam.
“Berbaki 10 peratus, kerja-kerja overhaul sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bomba berjaya mengawal api pada 1.30 petang, menggunakan sumber air pili bomba dan jentera merangkumi lima hos 200 kaki dan 10 pancutan nozzle.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam kenyataan berkata, setakat ini tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan atau kemalangan jiwa.
Beliau memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 11.53 pagi.
Katanya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya tiba di lokasi kejadian pada jam 12.27 tengah hari, kira-kira 25 kilometer dari balai, sebelum operasi pemadaman segera dijalankan.
“Operasi pemadaman turut dibantu pasukan dari BBP Kapar, BBP Kota Anggerik, BBP Rawang, BBP Batu Arang dan BBP Petaling Jaya.
“Seramai 35 anggota dan pegawai bomba terlibat dalam operasi ini dengan kekuatan jentera terdiri daripada empat jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta tiga jentera Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Tasik Puteri dan Saujana Utama,” kata beliau.
Ahmad Mukhlis berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


