SEORANG nelayan yang dilaporkan hilang selepas tercampak ke laut apabila bot dinaikinya dipukul ombak kuat di perairan Tanjung Sirik, Pulau Bruit, Daro di Mukah, Sarawak pada Khamis lalu, ditemukan lemas tengah hari ini.
Mayat Aldin Rakli, 59, ditemukan nelayan yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat pada jam 12.05 tengah hari.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Komander Maritim Mahkos Juing berkata, mayat nelayan itu ditemukan pada kedudukan 3.5 batu nautika barat laut dari Pantai Tekajong dan susulan penemuan tersebut, operasi itu ditamatkan pada jam 1.20 petang.
“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Kampung Tekajong untuk pengesahan oleh Kementerian Kesihatan dan proses pengecaman ahli keluarga, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Daro bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi kelmarin, mangsa bersama adik iparnya Kaharruddin Buang, 42, yang terselamat, dalam perjalanan menaiki bot dari Kampung Betanak, Pulau Bruit ke Kuala Matu sebelum bot mereka dipukul ombak kuat ketika melalui perairan Tanjung Sirik.


