KERAJAAN masih mempunyai kapasiti untuk mengekalkan harga RON95 pada paras RM1.99 bagi tempoh sekurang-kurangnya dua bulan lagi walaupun harga minyak dunia meningkat.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan terus mencuba dan menahan harga RON95 pada RM1.99 kerana mempunyai kapasiti untuk bertahan buat masa ini.
‘’Bagaimanapun, bagi harga (minyak) pasaran terbuka, ia akan mencerminkan harga semasa,” katanya kepada media pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan ASEAN Ke-2 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut beliau, Malaysia berada dalam kedudukan yang stabil untuk menguruskan kenaikan harga tenaga global memandangkan Malaysia merupakan pengeksport tenaga bersih, sekali gus membolehkan peningkatan hasil petroleum membantu mengimbangi kenaikan kos subsidi.
“Malaysia merupakan pengeksport tenaga bersih, justeru kenaikan harga minyak turut memberi limpahan positif kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bekalan minyak dan gas negara kekal mencukupi dengan PETRONAS memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan bekalan tenaga.
‘’Dari segi bekalan tenaga, Malaysia ketika ini berada dalam keadaan yang baik dan tidak berdepan gangguan bekalan,’’ katanya.


