MESYUARAT Jemaah Menteri Khas esok kemungkinan akan membincangkan cadangan kesesesuaian pelaksanaan kerja dari rumah WFH bagi sektor awam, kata jurucakap kerajaan Datuk Fahmi Fadzil.
Katanya, selepas wabak (Covid-19) kerajaan memahami sebahagian syarikat melaksanakan kaedah hibrid menerusi WFH.
‘’Mula-mula, kita akan teliti apa keadaan ekonomi dunia. Kita akan teliti dulu angka-angka dan apa tindakan kerajaan. Kita akan meneliti kesesuaian WFH ini, mungkin akan dibincangkan esok dalam mesyuarat khas, ‘’ katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini.
Fahmi diminta mengulas langkah Thailand melaksanakan WFH untuk agensi kerajaan dan perusahaan negeri bagi mengurangkan penggunaan tenaga ketika ketegangan geopolitik berlarutan di Asia Barat.
Mengenai mesyuarat Kabinet esok, beliau berkata, ia diadakan bagi membolehkan tindakan diselaraskan berdasarkan maklumat ekonomi terkini.
‘’Antara perkara yang akan diteliti termasuk perkembangan harga minyak mentah Brent, harga bahan api penerbangan serta beberapa indikator ekonomi lain. Dengan maklumat terkini ini, kita akan dapat selaraskan apa tindakan kerajaan, termasuk mengawal dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus diberi sokongan memandangkan sektor itu merupakan nadi ekonomi negara, termasuk yang terlibat dalam eksport serta pengeluaran perkhidmatan dan barangan dalam negara.
‘’Langkah kerajaan termasuk usaha untuk menyokong PMKS juga akan diputuskan selepas mengambil kira keseluruhan keadaan ekonomi dalam negara.
“Kita tidak mahu ambil tindakan tanpa mengetahui kesan tindakan. Kita tidak mahu merencatkan pertumbuhan,” katanya


