SEPASANG suami isteri warga emas maut selepas kereta dipandu anak mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan di Lebuh AMJ berhampiran Sungai Rambai di Jasin, Melaka hari ini.
Nahas berlaku kira-kira jam 2.45 petang membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 46 tahun membawa ibu bapanya.
Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku ketika tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah Jasin menghala ke Muar sebelum kenderaan tersebut dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu merempuh besi penghadang jalan.
Menurutnya, berikutan rempuhan itu, wanita yang memandu kenderaan cedera di muka dan badan dan dia kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
“Ibu bapa wanita itu yang berusia 79 dan 87 tahun pula mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” kata jurucakap polis itu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Pemangku Superintenden Lee Robert mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Sukur Md Ali pula berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.23 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi, terdapat tiga mangsa masih terperangkap di dalam kereta yang remuk akibat rempuhan.
“Pasukan operasi segera menjalankan kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan pemandu yang cedera sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke hospital.
“Dua lagi mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian. Kes ini diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


