SITUASI banjir yang melanda dua negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu kini semakin membimbangkan apabila jumlah mangsa yang dipindahkan di kedua-dua negeri itu meningkat kepada 1,367 setakat jam 9 malam ini.
Kesemua mangsa itu terdiri daripada 532 keluarga kini ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di Kelantan sebanyak 1,103 mangsa terdiri daripada 445 keluarga kini ditempatkan di lapan PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.
Tumpat merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 512 orang daripada 224 keluarga berada di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 2 dan SK Sri Tumpat 2.
Mangsa banjir di Bachok pula seramai 440 orang daripada 133 keluarga berlindung di dua PPS iaitu SK Pauh Sembilan dan SK Jelawat.
Di Kota Bharu mencatatkan 151 mangsa banjir daripada 88 keluarga di empat PPS iaitu SK Tapang, SK Parang Puting, SK Sering dan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti.
Sementara itu di Terengganu pula, seramai 264 mangsa banjir melibatkan 87 keluarga kini ditempatkan di PPS Masjid Pulau Redang.


