SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga suspek kes tembakan selepas merempuh motosikal dinaikinya di Jalan Keretapi Lama, dekat Tok Muda di Kapar, minggu lalu.
Tertuduh, R Ganesalingam, 49 mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga peniaga kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas K Tinesh Kumar, 33 di hadapan simpang masuk Taman Seri Kapar, Kapar kira-kira jam 9.46 hingga 9.47 pagi, 5 Mac lalu.
Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Syuhada Rosli manakala tertuduh diwakili K Nathiya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 April untuk laporan forensik.
Sebelum ini media melaporkan, dua lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dipercayai melepaskan tembakan ke arah pemandu lori di Kampung Perepat sebelum dikejar majikan mangsa hingga ke Jalan Keretapi Lama.
Tertuduh kemudian melanggar motosikal tersebut apabila salah seorang daripada mereka mengacukan objek menyerupai pistol sebelum terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Seri Kapar.
Semakan mendapati lelaki yang maut mempunyai 23 rekod jenayah manakala, rakannya yang cedera memiliki 10 rekod jenayah selain dikehendaki di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Majikan yang merempuh motosikal itu pula mempunyai rekod kes dadah dan jenayah di bawah Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.


