Kesan harga global melonjak, 2025 subsidi diesel RM3.45 bilion setahun, 2026 RM2.2 bilion sebulan

PERBELANJAAN pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) meningkat tiga kali ganda kepada RM2.2 bilion sebulan pada bulan lalu, berbanding RM700 juta sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, lonjakan tinggi itu susulan kenaikan harga diesel di pasaran global.

Sebagai contoh kata beliau pada Februari lalu, harga diesel dunia adalah AS$93 setong berbanding AS$239 setong pada 31 Mac lalu yang menyaksikan lonjakan harga mencecah 158 peratus.

“Jumlah peruntukan subsidi diesel bagi pelaksanaan SKDS ialah RM2.2 bilion sebulan, berbanding RM3.45 bilion setahun yang dibelanjakan sepanjang tahun lalu.

“Bayangkan sebelum ini untuk SKDS kerajaan belanja RM700 juta sebulan kini meningkat kepada RM2.2 bilion sebulan, manakala keseluruhan unjuran subsidi kerajaan untuk bekalan tenaga membabitkan RM7 bilion sebulan,” katanya lapor Buletin TV3.

Armizan berkata, sepanjang tahun lalu, kerajaan membelanjakan RM3.45 bilion bagi pelaksanaan SKDS meliputi RM3.1 bilion untuk sektor pengangkutan darat barangan dan RM344.05 juta untuk sektor pengangkutan darat awam dan jumlah itu tidak termasuk program subsidi diesel lain seperti BUDI Agri-Komoditi, BUDI individu dan subsidi diesel.

“Di bawah SKDS, sebanyak 33 jenis kenderaan disenaraikan layak menerima diesel bersubsidi meliputi 10 jenis kenderaan pengangkutan darat awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan darat barangan.

“Sejak pelaksanaan SKDS bermula 10 Jun 2024 sehingga 30 Mac 2026, sebanyak 150,755 syarikat dan entiti berkelayakan mendapat kelulusan penyertaan dalam SKDS dengan 368,911 kenderaan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 93 peratus adalah kenderaan pengangkutan darat barangan dan tujuh peratus kenderaan pengangkutan darat awam,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img