Khalid Mehtab sifatkan pemecatan Saifuddin bertentangan prinsip Perlembagaan

SELEPAS senyap seketika, krisis politik dalam Bersatu kembali heboh apabila Lembaga Disiplin parti memecat Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau merupakan Ahli Parlimen kedua daripada Bersatu yang dipecat daripada parti selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan manakala Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Farsyhal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian.

Hari ini seorang Ketua Bahagian Bersatu yang juga seorang peguam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq mempersoalkan secara terbuka pemecatan Saifuddin.

 Khaliq Mehtab berkata, setelah meneliti fakta yang ada, beliua mendakwa adalah jelas bahawa keputusan pemecatan tersebut dibuat tanpa suatu persidangan rasmi Lembaga Disiplin (LD).

‘’Hakikat ini tidak boleh diselindung dengan kenyataan umum, alasan pentadbiran atau tafsiran longgar Perlembagaan parti.

‘’Sebagai Ketua Bahagian dan juga seorang peguam, saya menyatakan dengan tegas bahawa pemecatan tanpa persidangan LD adalah bertentangan dengan semangat dan prinsip Perlembagaan Parti. Ini bukan isu teknikal kecil — ini isu keabsahan keputusan,’’  tegasnya dalam kenyataan.

Khaliq Mehtab yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas menegaskan, beliau tidak mempertahankan mana-mana individu sebaliknya mempertahankan perlembagaan, proses dan integriti parti.

‘’Apabila proses dipintas, keputusan yang terhasil bukan lagi ketegasan, tetapi penyalahgunaan kuasa.

‘’Lebih mendukacitakan, apabila kecacatan proses ini cuba ditutup dengan naratif “disiplin”, “tanggungjawab kolektif” dan “ketegasan parti”, seolah-olah matlamat boleh menghalalkan cara. Ini bukan budaya parti yang berperlembagaan, ini budaya arahan tanpa semak imbang,’’ katanya.

Sebagai peguam, tegasnya, ‘’Saya hanya  menyatakan secara jujur bahawa agak malu apabila terpaksa menjelaskan perkara asas sebegini kepada umum bahawa keadilan bukan hanya keputusan, tetapi juga proses. Tanpa proses, keputusan itu rapuh, mudah dicabar dan memalukan parti sendiri.’’

Beliau berkata, jika hari ini seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi boleh dipecat tanpa persidangan LD, esok sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa.

‘’Parti yang membenarkan perkara ini, sedang mengajar ahlinya bahawa Perlembagaan boleh diketepikan apabila tidak selari dengan kehendak kuasa. Disiplin tanpa Perlembagaan bukan disiplin. Ketegasan tanpa proses bukan kepimpinan.

‘’Bersatu tidak akan menjadi parti yang dihormati jika ia gagal mematuhi Perlembagaannya sendiri. Tiada siapa lebih besar daripada Perlembagaan — termasuk mereka yang memegang kuasa,’’ tegasnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img