SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan aset di luar negara yang dikaitkan dengan Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Sdn Bhd, Abu Sahid Mohamed, sebagai sebahagian daripada siasatan kes projek Sambungan Lebuhraya Maju (MEX II).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata suruhanjaya itu bekerjasama dengan agensi luar negara, terutamanya di United Kingdom, bagi mendapatkan semula aset tersebut yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.
“Banyak proses yang perlu kita patuhi di bawah bantuan perundangan bersama antara negara, yang mana ini membabitkan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Pihak kami sudah menyediakan draf kepada AGC bagi memohon maklumat daripada pihak luar negara, terutama sekali daripada The International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) dari UK,” katanya lapor Berita Harian.
Abu Sahid, 74, sedang dibicarakan atas lima pertuduhan pecah amanah dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan projek MEX II.
Pertuduhan pecah amanah melibatkan RM458 juta, manakala kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM139 juta.
Pada 19 Dis, sebuah Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur membenarkan permohonan Abu Sahid untuk pelepasan sementara pasportnya bagi tujuan perjalanan ke United Kingdom.
Sementara itu, Azam memaklumkan, SPRM sudah mengambil keterangan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad pada Disember lalu bagi membantu siasatan kes.
Katanya, Adam Radlan diminta membantu menerangkan mengenai jumlah wang yang dikeluarkan tertuduh, sama ada untuk beliau atau pihak lain.
“Adam Radlan ialah saksi, jadi beliau bebas keluar masuk dalam negara dan siasatan membabitkan MEX II ini masih diteruskan.
“Ia bukan membabitkan beliau seorang saja tetapi beberapa saksi lain, lebih kurang 29 atau 30 orang, yang mana ada wang diberikan pihak tertuduh sebelum ini dan ini menjadi satu perkara subjek yang kita nak tahu berapa banyak wang sebenarnya sudah dikeluarkan,” katanya.


