Konflik Timur Tengah : KPDN pantau rapi harga barang, tiada kenaikan luar jangka

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau rapi harga barangan di pasaran bagi memastikan tiada kenaikan luar jangka susulan konflik geopolitik di Timur Tengah.

Timbalan Menteri KPDN, Datuk Fuziah Salleh berkata, setakat ini kementerian belum menerima sebarang laporan menunjukkan kenaikan harga barangan keperluan akibat konflik tersebut.

Menurutnya, hasil pemantauan di peringkat domestik mendapati harga barangan masih berada dalam keadaan stabil dan terkawal.

“Pemantauan rapi dilaksanakan oleh lebih 2,400 anggota penguat kuasa serta 850 pegawai pemantau harga di seluruh negara bagi memastikan pergerakan harga barangan keperluan asas masih stabil setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan berjaga-jaga susulan pandangan ahli ekonomi bahawa peningkatan kos input seperti baja, makanan haiwan, logistik serta import pertanian berpotensi memberi tekanan kepada harga makanan.

“KPDN turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara kekal stabil dan sebarang peningkatan kos tidak dipindahkan secara melampau kepada pengguna,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, penguatkuasaan terhadap sebarang bentuk pencatutan harga akan dipertingkatkan mengikut peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Sekiranya terdapat kenaikan harga yang tidak munasabah, kementerian boleh mengeluarkan Notis Seksyen 21 bagi mendapatkan penjelasan berkaitan kos input dan margin keuntungan.

“Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan daripada situasi semasa akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga terus memperhebat pelaksanaan inisiatif membantu rakyat termasuk Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Sehubungan itu, kerjasama pengguna amat penting dalam memastikan ketelusan harga di pasaran.

“Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan aduan rasmi kepada KPDN sekiranya mendapati sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah supaya tindakan siasatan dapat diambil segera,” ujarnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img