KPDN gariskan lima kluster reformasi undang-undang bagi tahun 2026

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggariskan lima kluster reformasi undang-undang dan institusi sebagai fokus utama kementerian bagi tahun 2026 dalam usaha memperkukuh perlindungan pengguna serta meningkatkan keberkesanan pasaran domestik.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, reformasi tersebut merupakan kesinambungan daripada penambahbaikan perundangan yang telah dilaksanakan sejak 2024, termasuk pindaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2025.

Menurut beliau, kluster pertama melibatkan pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 bagi memperkasa peruntukan penyiasatan dan penguatkuasaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam membanteras kartel serta amalan monopoli yang menjejaskan pengguna.

“Dalam pada itu, pindaan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 yang bertujuan memperkukuh kawal selia terhadap amalan jualan langsung dan skim pelaburan berisiko, selain melindungi pengguna daripada penipuan dan eksploitasi.

“Turut dirancang, penggubalan atau penambahbaikan undang-undang berkaitan e-dagang, termasuk Akta Perdagangan Elektronik 2006, bagi menangani cabaran transaksi digital secara lebih menyeluruh serta memperkukuh akauntabiliti platform e-dagang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan KPDN Tahun 2026 di Dewan Serbaguna KPDN, Putrajaya hari ini.

Armizan memaklumkan, kluster keempat melibatkan penggubalan peruntukan Lemon Law di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi memperincikan prosedur penyelesaian pertikaian dan tuntutan tebus rugi, khususnya melibatkan pembelian kenderaan baharu.

Manakala, kluster kelima adalah penggubalan Undang-Undang Harta Alih Kepentingan Bercagar yang bertujuan mewujudkan sistem pendaftaran kepentingan bercagar ke atas harta alih sebagai cagaran pinjaman, sekali gus memudahkan pembiayaan perniagaan dengan lebih telus dan selamat.

Tambah beliau, semua pindaan dan penggubalan undang-undang tersebut adalah hasil kajian menyeluruh yang melibatkan pandangan industri, agensi berkaitan, persatuan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.

Mengulas hala tuju kementerian bagi 2026, beliau berkata, KPDN menganjakkan fokus daripada penggubalan dasar kepada pelaksanaan berimpak tinggi menerusi kerangka Blueprint, Footprint dan Imprint.

Menurutnya, pelbagai dasar, pelan strategik dan belanjawan (blueprint) akan diterjemahkan kepada pelaksanaan inisiatif, program dan penguatkuasaan (footprint) yang seterusnya menghasilkan manfaat nyata kepada rakyat (imprint) termasuk perlindungan pengguna yang lebih kukuh, kestabilan pasaran dan kesejahteraan kos sara hidup.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img