AKTIVITI penyelewengan bahan api bersubsidi terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis merampas lebih 43,000 liter minyak diesel dalam satu serbuan di Kawasan Perindustrian Padang Besar, semalam.
Serbuan sekitar jam 12.30 tengah hari itu dijalankan hasil maklumat risikan selama dua bulan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai penguat kuasa KPDN Putrajaya di sebuah premis dipercayai dijadikan lokasi pengisian bahan api secara haram.

Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Othman berkata, pemeriksaan mendapati beberapa kenderaan berat berada di lokasi kejadian, termasuk tiga lori penggerak utama bernombor pendaftaran Thailand yang ditemui berhampiran pam dan tangki skid.
Katanya, dua lori terbabit sedang mengisi diesel ke dalam tangki asal serta tangki tambahan kenderaan, manakala sebuah lori tempatan pula dikesan mengisi bahan api ke dalam tangki skid.
“Siasatan awal menunjukkan minyak diesel berkenaan dijual kepada kenderaan asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keseluruhan diesel yang dirampas dianggarkan berjumlah 43,500 liter bernilai sekitar RM124,410, selain pihaknya menyita dua lori Thailand bernilai kira-kira RM400,000.
Turut dirampas adalah sembilan unit telefon bimbit pelbagai jenama, buku resit jualan minyak serta peralatan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipercayai digunakan bagi memantau aktiviti di premis berkenaan.
Dalam operasi sama, kata Rohaida, pihak berkuasa menahan lima lelaki warga Thailand serta masing-masing seorang lelaki dan wanita tempatan berusia antara 29 hingga 55 tahun untuk membantu siasatan.
Rohaida berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Selain diesel, pihaknya turut menemukan sejumlah besar minyak masak disyaki disimpan tanpa kebenaran di premis sama.
“Sebanyak 8,500 peket minyak masak dan 2,520 kilogram minyak masak dalam 21 botol lima liter dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM97,970,” katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan mendapati minyak masak itu disimpan dalam tiga lori bonded, dengan pembungkusan botol lima liter dan polibeg satu kilogram yang dicetak dalam bahasa Thailand.
Premis berkenaan didapati tidak mempunyai lesen menyimpan minyak masak, manakala tiga lori bonded bernombor pendaftaran tempatan dengan nilai anggaran RM195,000 turut disita.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.


