KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 3,545 keping logam emas pelbagai bentuk bernilai RM82,725 menerusi Operasi Khas OPS Tulen di sebuah premis perniagaan di Pusat Perniagaan Kuchai Lama Kuala Lumpur -baru ini.
KPDN memaklumkan operasi di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) itu dilaksanakan oleh enam pegawai penguat kuasa Bahagian Penguat Kuasa kementerian selepas premis berkenaan disyaki menjual produk emas yang tidak menepati standard ketulenan melalui saluran media sosial.
“Hasil ujian menggunakan peralatan pendarfluor sinar-X (XRF) ke atas syiling emas yang dibeli mendapati kandungan emas sebenar adalah jauh lebih rendah berbanding ketulenan yang dicop iaitu AU 999.9, dengan bacaan purata sekitar 77 peratus,” kata Kementerian itu dalam kenyataan.
Kenyataan itu memaklumkan, pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan adalah pembekal kepada peruncit yang memasarkan produk emas sama secara dalam talian manakala produk yang dipamerkan di premis itu adalah sama seperti yang diiklankan di media sosial.
Ujian ke atas emas yang disita pula menunjukkan kandungan emas berbeza-beza antara 80 peratus hingga 98 peratus bagi setiap kepingan seberat 0.01 gram,’’ kata kenyataan tersebut.
Sehubungan dengan itu, kata kenyataan berkenaan, premis terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membuat perihal dagangan palsu berkaitan standard ketulenan barangan logam berharga.
Kenyataan itu berkata,selain emas, beberapa peralatan dan dokumen turut disita bagi membantu siasatan.
‘’ Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama barangan di bawah Seksyen 5(1)(c) Akta 730,’’ kata kenyatan berkenaan.
Menurut KPDN, bagi individu, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
‘’Bagi syarikat pula, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM1 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya,’’ kata kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu berkenaan, KPDN menegaskan komitmen kementerian untuk terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras amalan perniagaan yang mengelirukan dan menipu pengguna, khususnya melibatkan penjualan barangan logam berharga.


