Kutipan dana kemanusiaan perlu diperketat elak penyelewengan berterusan – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa perlunya peraturan lebih ketat dikenakan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip dana kemanusiaan bagi mengelak daripada berlakunya penyelewengan.

Menurut beliau, langkah itu wajar kerana ketika ini semakin banyak kepincangan dan penyalahgunaan wang derma dilaporkan, termasuk oleh pihak yang menggunakan nama Islam.

DATUK Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Onn Hafiz Ghazi (tiga dari kiri) dan Fadhlina Sidek (tiga dari kanan) bersama warga pendidik dan pelajar yang menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan 6 di IPG Kampus Temenggong Ibrahim di Johor Bahru hari ini.

“Banyak NGO banyak guna nama Islam, kutip dana puluhan juta dan kata nak bantu rakyat Palestin tetapi akhirnya belanjakan harta itu. Sekarang kita dengar kutipan dana khairat dan sebagainya tetapi beli kemudahan peribadi.

“Jadi harus ada peraturan lebih ketat kawal perbelanjaan mana-mana badan kebajikan, khairat, amanah atau yayasan yang kutip derma tetapi seleweng, nak kata rasuah bukan kerana mereka kutip derma secara sah, ada sijil.

“Ada NGO kutip derma RM100 juta, tetapi bantuan yang sampai hanya RM20 juta, selebihnya RM80 juta diambil sebagai kos operasi,” katanya pada sesi dialog sempena program Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan 6 di IPG Kampus Temenggong Ibrahim di Johor Bahru hari ini.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,200 pelajar dan tetamu itu, Perdana Menteri turut mengumumkan memperuntukkan sebanyak RM200,000 buat IPG berkenaan.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa golongan muda negara ini agar celik geopolitik dan memahami realiti semasa sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan krisis global yang semakin mencabar.

“Anak-anak muda mesti faham fakta dan realiti semasa jangan hanya bergantung kepada maklumat singkat tanpa penelitian, sebaliknya dalami isu termasuk geopolitik kerana ia memberi kesan langsung kepada negara.

“Sikap cepat menghukum atau membuat kesimpulan berdasarkan maklumat singkat adalah tidak sihat dan boleh merosakkan keharmonian masyarakat.

“Ini bukan tanda kematangan atau keilmuan, kita mahu generasi yang berfikir, meneliti dan mempunyai adab dalam berbeza pandangan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img