DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperhalusi cadangan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam seperti yang dinikmati pelajar Matrikulasi ketika ini.
Perdana Menteri berkata, cadangan itu selari dengan langkah pengambilalihan sistem pendidikan prauniversiti membabitkan pelajar Tingkatan Enam dan Matrikulasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sebelum ini di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Elaun Tingkatan Enam dengan Matrikulasi, saya setuju untuk disamakan. Kita tengah teliti sebab keputusan dasar telah dibuat cuma hanya kaedah pelaksanaan (sedang dibincang),” katanya pada sesi dialog sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan Enam, di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, di Johor Bahru hari ini.
Perdana Menteri sebelum itu ditanya dalam sesi soal jawab oleh pelajar Tingkatan Enam kenapa mereka tidak menerima elaun seperti pelajar Matrikulasi yang mana kedua-duanya pada tahap pendidikan prauniversiti serta kelebihan apabila Tingkatan Enam diletakkan di bawah KPT.
Ketika ini pelajar Matrikulasi mendapat Bantuan Sara Hidup Pelajar Matrikulasi (BHSP) berjumlah RM250.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pelajar Tingkatan Enam perlu diletakkan di bawah KPT kerana ia sebahagian daripada kategori pasca persekolahan.
Justeru, beliau berkata, kemudahan termasuk pemberian biasiswa untuk pelajar prauniversiti seperti Tingkatan Enam atau Matrikulasi harus disampaikan kepada pelajar.
Pada 20 Januari lalu, Anwar dilaporkan berkata, KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti membabitkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi bermula tahun ini.
Beliau berkata, langkah berkenaan sekali gus menjadikan kedua-dua kelompok secara rasmi adalah pelajar pendidikan tinggi.


