SEORANG lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an ditahan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat dalam serbuan di sebuah rumah kampung berkembar Kluang, awal pagi tadi.
Operasi kira-kira pukul 1.30 pagi itu dijalankan anggota penguat kuasa JAINJ susulan maklumat dan aduan orang ramai.
Menurut JAINJ, serbuan dilakukan selepas pihaknya kerap menerima aduan berhubung kehadiran lelaki terbabit yang sering datang ke rumah wanita berkenaan walaupun tanpa ikatan sah.
“Sebaik tiba di lokasi iaitu rumah kampung berkembar, penguat kuasa mendapati terdapat kereta milik lelaki dan wanita.
“Pemeriksaan awal di ruang tamu dan bilik tidak menemukan sesiapa sebelum anggota memeriksa bahagian dapur.
“Seorang lelaki akhirnya ditemui bersembunyi di dalam tandas dapur dalam keadaan mencangkung sambil membasuh sebuah periuk besar, hanya memakai seluar dalam dan baju-T,” katanya dalam satu kenyataan.
Curiga dengan alasan diberikan, penguat kuasa kemudian memeriksa bilik utama dan mendapati cadar, selimut serta bantal dalam keadaan berselerak seperti baru digunakan.
JAINJ berkata, pasangan itu turut memaklumkan mereka dalam perancangan untuk bernikah dalam tempoh tiga bulan lagi.
“Kejadian berkenaan dipercayai bukan kali pertama berlaku, sebaliknya berlarutan sejak sekian lama sehingga mencetuskan aduan penduduk setempat.
“Penguat kuasa telah merekodkan keterangan kedua-duanya dan kes akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat,” katanya.


