Lelaki Nigeria dihukum gantung campak cucu tiri dari tingkat 3 apartmen

SEORANG lelaki warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencampak cucu tirinya dari tingkat tiga sebuah apartmen sehingga mati enam tahun lalu.

Hakim K Muniandy menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Ibekwe Emeka Augustine, 48, selepas mempertimbangkan segala keterangan yang dikemukakan sepanjang prosiding kes itu.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun secara serentak selepas didapati bersalah atas empat lagi pertuduhan iaitu melakukan serangan seksual terhadap anak tirinya, cuba membunuh anak lelakinya, mencederakan isteri dan cuba membunuh diri.

“Semua perbuatan tidak berperikemanusiaan dan keji yang dilakukan tertuduh dalam sehari itu sepatutnya dapat dihentikan kerana isterinya sudah cuba berbuat demikian, namun tertuduh tetap meneruskan perbuatannya selepas mencederakan isteri sehingga parah.

“Perbuatan tertuduh tidak boleh dimaafkan kerana dia sendiri memilih berada dalam keadaan luar kawal akibat pengambilan dadah, malah cuba membunuh dirinya sendiri,” kata Muniandy dalam penghakimannya hari ini, lapor Harian Metro.

Terdahulu, Augustine dalam rayuannya mengakui insaf atas perbuatannya itu dan memohon hukuman penjara.

“Saya menyesal di atas semua yang berlaku. Sebelum ini saya menjaga cucu (mangsa) dengan baik, mengajarnya berenang dan berlari,” katanya.

Pada 18 Disember 2020, Augustine didakwa membunuh kanak-kanak berusia empat tahun yang juga cucu tirinya di Apartment Danau Villa, Setapak, Kuala Lumpur antara jam 7.45 hingga 8.15 pagi pada 29 November 2020.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 25 tahun (ketika kejadian), tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda bagi kesalahan cuba membunuh anak lelaki berusia tujuh tahun (ketika kejadian) dan mencederakan isteri berusia 48 tahun ketika kejadian (Seksyen 325 dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda).

Augustine turut didakwa atas kesalahan cuba bunuh diri mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir manakala tertuduh diwakili peguam Zulkifli Awang.

Pendakwaan mengemukakan 20 saksi manakala pembelaan memanggil dua saksi dalam perbicaraan kes yang bermula pada 15 Januari 2024.

Sementara itu, Zulkifli ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman mati yang dijatuhkan mahkamah terhadap anak guamnya itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img