MALBATT 850-13 mengambil bahagian dalam program “Woman’s Craft Market” yang dianjurkan di UNP 2-3 Shama Base, Selatan Lubnan, sebagai salah satu inisiatif memperkukuh hubungan antara pasukan pengaman United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) dan komuniti setempat.
Melalui Facebooknya, MALBATT 850-13 memaklumkan, program itu menghimpunkan lebih 50 gerai jualan melibatkan pertubuhan wanita tempatan serta usahawan dan artisan individu yang mempamerkan pelbagai hasil kraftangan, produk makanan dan barangan buatan tangan.
Penganjuran acara ini bukan sahaja memberi ruang kepada wanita tempatan menjana pendapatan, malah memperkasakan peranan mereka dalam pembangunan komuniti.

Dalam menjayakan program tersebut, MALBATT 850-13 telah memberikan sokongan dari aspek penyertaan serta menggalakkan anggota hadir sebagai pengunjung dan pembeli bagi memeriahkan suasana.
Kehadiran warga MALBATT bukan sahaja memberi sokongan moral kepada para peniaga, malah menjadi simbol solidariti dan kebersamaan antara pasukan pengaman dan masyarakat setempat.
Penglibatan ini jelas mencerminkan komitmen MALBATT 850-13 dalam memperkukuh hubungan, seterusnya memupuk kepercayaan, keyakinan dan persefahaman bersama antara UNIFIL dan komuniti di kawasan tanggungjawab.
Usaha itu diharapkan terus menjadi jambatan yang menghubungkan budaya, mengeratkan persahabatan serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan yang berterusan di bumi Lubnan.
Turut hadir adalah Timbalan Komander MALBATT 850-13, Lt Kol Zain Azrai Karia dan Sarjan Mejar Rejimen (SMR) MALBATT 850-13, Pegawai Waran I Mohd Redzuan Buang.


