PM,TPM harap Tahun Baharu Cina kukuhkan perpaduan, teguhkan semangat muhibah antara kaum

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak membiarkan emosi, hasutan serta perbezaan pandangan meretakkan hubungan dan menghakis rasa percaya yang telah sekian lama terjalin dalam masyarakat majmuk negara ini.

Dalam ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina esok, Anwar berkata perbezaan itu sebaliknya harus dijadikan ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog, rundingan dan kebijaksanaan demi mengekalkan keharmonian bersama.

“Tahun Baharu Cina sentiasa mengingatkan kita tentang kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan. Pada Tahun Kuda ini, ketekunan, keberanian dan semangat juang diraikan seiring tuntutan untuk bertindak dengan kebijaksanaan serta kesederhanaan.

“Confucius mengingatkan kita bahawa keharmonian lahir apabila manusia saling menghormati dan memahami satu sama lain. Inilah asas yang memungkinkan masyarakat berbilang kaum hidup bersama secara aman walaupun berbeza latar budaya dan kepercayaan,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.

Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus melangkah gagah selagi keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama serta mendoakan agar seluruh rakyat dilimpahkan kesejahteraan dan kemakmuran.

“Gong Xi Fa Cai! Xin Nian Kuai Le! Ma Nian Xin Da Yun!,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, perayaan Tahun Baharu Cina diharapkan membawa kesejahteraan, memperkukuh perpaduan dan mempertahankan semangat kebersamaan yang menjadi asas kemakmuran negara ini yang terkenal dengan kepelbagaian budaya.

Perkara itu dinyatakan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi hantaran di Facebook masing-masing hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap agar tahun ini membawa kebahagiaan, kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah serta kejayaan dalam setiap langkah yang diusahakan.

“Dalam kepelbagaian budaya yang kita miliki, inilah keindahan Malaysia yang sebenar, kita meraikan perbezaan dengan penuh hormat, berkongsi kegembiraan bersama dan terus melangkah sebagai satu keluarga besar yang bersatu hati.

“Semoga tahun baharu ini membawa lebih banyak harapan dan kesejahteraan buat negara yang kita cintai,” katanya yang turut mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikan perayaan itu.

Sementara itu, Fadillah juga berharap semoga tahun baharu ini membawa sinar kebahagiaan, kesihatan yang berpanjangan dan rezeki yang melimpah ruah kepada semua.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata rakyat Malaysia bertuah dapat menikmati hidup dalam suasana yang membolehkan semua saling belajar dan berkongsi nilai berikutan penduduk negara ini meliputi pelbagai kaum dan anutan agama.

“Justeru, amat penting untuk kita terus memupuk sikap toleransi dan saling menghormati, kerana di situlah terletaknya asas keharmonian dan kestabilan bersama.

“Marilah kita terus memelihara perpaduan, perkukuh keharmonian dan pertahankan semangat kebersamaan yang menjadi asas kemakmuran negara,” katanya yang berharap rakyat akan melangkah ke tahun baharu ini dengan hati yang bersatu, tekad yang kukuh dan semangat yang saling menguatkan antara satu sama lain.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img