Maritim Malaysia Kelantan kesan dua lokasi panas pencerobohan nelayan asing di Pantai Timur

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mengenal pasti dua lokasi panas pencerobohan nelayan asing iaitu Kawasan Perjanjian Bersama (CAA) Malaysia-Vietnam dan Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) Malaysia-Thailand di perairan Pantai Timur.

Pencerobohan nelayan asing di kawasan itu dikesan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, penangkapan ikan sememangnya tidak dibenarkan di kedua-dua kawasan itu namun sering menjadi sasaran bot nelayan asing yang dikesan melakukan aktiviti tersebut secara tidak sah.

“Setakat ini, sebanyak 28 bot nelayan asing dikesan menceroboh perairan negara dengan tiga tangkapan melibatkan 17 kru membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM1.17 juta.

“Bagi tahun 2024 pula, Maritim Malaysia Kelantan berjaya merampas 15 bot nelayan asing di perairan Pantai Timur dengan 16 tangkapan melibatkan 134 kru di mana nilai keseluruhan rampasan mencecah RM9.9 juta,” katanya baru-baru ini.

Erwan Shah berkata, operasi penguatkuasaan seperti Op Damai 1/2018, Op Iman 1/2018, Op Naga 1/2024 dan Op Tiris 3.0 terus dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram khususnya di zon maritim berisiko tinggi.

“Hasil laut yang dicuri dari perairan Malaysia kebanyakannya dihantar ke negara asal mereka bagi memenuhi permintaan tinggi sektor pemprosesan makanan laut,” katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan, pengawasan dan operasi bersepadu bersama dengan agensi berkaitan bagi melindungi perairan negara serta mengelakkan kemerosotan sumber marin.

Dalam pada itu, Erwan Shah turut menasihatkan nelayan tempatan agar lebih berwaspada ketika keluar ke laut berikutan monsun timur laut yang masih belum reda dan berpotensi membawa angin ribut kuat yang membahayakan mereka khususnya yang menggunakan bot kecil.

Beliau menyarankan agar nelayan keluar secara berkumpulan bagi mengurangkan risiko dan memudahkan bantuan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img