Usaha AS,Malaysia sia-sia…Kemboja tutup pintu lintasan sempadan, Thailand kata tiada gencatan senjata

USAHA Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia untuk menamatkan konflik antara Kemboja dan Thailand hanya sia-sia apabila beberapa jam Presiden Donald Trump memberitahu satu gencatan senjata akan dijalankan, Thailand menafikannya manakala Kemboja menutup pintu lintasan sempadan.

Media di kedua-dua negara melaporkan malam ini  Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthapol Nakpanich, mengesahkan bahawa kerajaan belum mengeluarkan sebarang arahan gencatan senjata kepada pihak tentera, sambil menegaskan bahawa pemberhentian pertempuran hanya akan dipertimbangkan apabila Kemboja dengan jelas menamatkan apa yang disifatkan Thailand sebagai tindakan bermusuhan.

Berucap pada 13 Disember di tengah kekeliruan orang ramai susulan laporan mengenai kemungkinan gencatan senjata, Jeneral Natthapol berkata tiada sebarang arahan diberikan kepada Angkatan Tentera Thailand untuk menghentikan operasi.

Beliau menegaskan bahawa pendirian kerajaan kekal tidak berubah, dengan operasi ketenteraan diteruskan sehingga terdapat bukti jelas bahawa Kemboja telah sepenuhnya menghentikan aktiviti bermusuhan.

“Tiada arahan gencatan senjata,” kata Menteri Pertahanan itu, sambil menambah bahawa sebarang langkah ke arah penyaheskalasi bergantung kepada penamatan muktamad tindakan bermusuhan dari pihak Kemboja.

Sementara itu, Kemboja  menutup lintasan sempadannya dengan Thailand hari ini, selepas Bangkok menafikan dakwaan Trump bahawa gencatan senjata telah dipersetujui.

Keganasan antara dua negara jiran Asia Tenggara itu, yang berpunca daripada pertikaian yang sudah lama berlarutan mengenai sempadan era kolonial sepanjang 800km, telah mengakibatkan kira-kira setengah juta penduduk di kedua-dua belah pihak kehilangan tempat tinggal.

Sekurang-kurangnya 25 orang terkorban minggu ini, termasuk empat askar Thailand di kawasan sempadan hari ini, menurut Kementerian Pertahanan negara itu.

Korban terbaru itu disusuli dengan pengumuman Phnom Penh untuk ‘menggantung serta-merta semua pergerakan keluar masuk di semua lintasan sempadan Kemboja-Thailand’, menurut Kementerian Dalam Negeri.

Setiap pihak saling menyalahkan satu sama lain atas tercetusnya semula konflik tersebut, sebelum Trump menyatakan bahawa satu gencatan senjata telah dipersetujui.

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berkata, Trump ‘tidak menyebut sama ada kita patut mengadakan gencatan senjata’ semasa panggilan telefon mereka pada Jumaat.

Kedua-dua pemimpin itu ‘tidak membincangkan’ isu tersebut, kata Anutin kepada pemberita.

Trump sebelum itu memuji ‘perbualan yang sangat bagus’ dengan Anutin dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada Jumaat.

‘Mereka telah bersetuju untuk menghentikan semua tembakan berkuat kuasa petang ini, dan kembali kepada perjanjian damai asal’ yang dipersetujui pada Julai, tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

AS, China, dan Malaysia, selaku pengerusi blok serantau ASEAN, telah mengusahakan satu gencatan senjata pada Julai selepas tercetusnya siri keganasan awal selama lima hari.

Pada Oktober, Trump menyokong deklarasi bersama susulan antara Thailand dan Kemboja, menggembar-gemburkan perjanjian perdagangan baharu selepas mereka bersetuju untuk melanjutkan tempoh bertenang.

Thailand bagaimanapun menggantung perjanjian itu pada bulan berikutnya selepas askarnya cedera akibat periuk api di sempadan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img