AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan sebuah bot penumpang yang didapati membawa muatan melebihi had dibenarkan, di perairan Pulau Redang semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 3 petang pada kedudukan 26 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa seramai 25 penumpang, sedangkan kapasiti maksimum yang dibenarkan hanyalah 12 orang seperti termaktub dalam lesen sah,” katanya.
Menurut beliau, tindakan membawa penumpang berlebihan bukan sahaja melanggar syarat lesen, malah mengundang risiko keselamatan sekiranya berlaku kecemasan di laut.
Tambahnya lagi, pemeriksaan turut mendapati terdapat kru yang tidak memakai jaket keselamatan, sekali gus meningkatkan risiko kehilangan nyawa.
“Bot itu dikendalikan oleh tiga kru tempatan berusia antara 19 hingga 23 tahun,” jelasnya.
Kesemua penumpang diarahkan turun dengan selamat, manakala bot bersama kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Terengganu untuk siasatan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat lesen dengan membawa penumpang melebihi had dibenarkan.
Hamiludin dalam pada itu menegaskan pihaknya akan terus mempergiat rondaan serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan aspek keselamatan di laut.


