POLIS menemukan mayat seorang wanita di bawah sebuah lori yang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 26, Jalan Lok Heng-Mawai, Kota Tinggi petang semalam yang mengorbankan pemandu kenderaan tersebut.
Mangsa wanita itu ditemukan ketika operasi mengangkat lori berkenaan dilakukan petang ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, mangsa dipercayai kakak angkat kepada pemandu lelaki tersebut.
“Pada tengah malam tadi, polis dimaklumkan oleh keluarga mangsa, bahawa terdapat seorang lagi individu bersama pemandu lelaki tersebut iaitu perempuan yang merupakan kakak angkatnya.
“Pada kira-kira jam 4.30 petang, mayat penumpang tersebut telah berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Sebelum itu, seorang lelaki dilaporkan rentung selepas lori dipandu terbakar dan dalam kejadian kira-kira jam 4.35 petang semalam.
Yusof berkata, nahas tersebut melibatkan sebuah lori jenis Volvo yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung dan terbakar.
Katanya, mangsa yang memandu lori berkenaan mengalami kecederaan parah akibat kebakaran melibatkan keseluruhan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tambahnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


