PASUKAN Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan sebuah treler yang membawa muatan 35,000 kilogram (kg) disyaki mineral jenis feldspar di hadapan sebuah sekolah di Lanchang, Temerloh, kelmarin.
Treler yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu Ops Khazanah yang dijalankan Batalion 7 bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), kira-kira jam 5 petang.
PGA Bridged Tenggara dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan terdapat 35,000kg mineral di muatan belakang treler tersebut.
“Dokumen yang ditunjukkan oleh pemandu berkaitan mineral yang dibawa agak meragukan dan disyaki diperolehi secara menyalahi undang-undang,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.
Mineral jenis feldspar merupakan hasil bumi yang mempunyai pelbagai kegunaan, terutamanya dalam industri seramik dan kaca
PGA memaklumkan siasatan awal turut mendapati lelaki itu merupakan pemandu di sebuah syarikat pengangkutan, yang menawarkan khidmat mengangkut barang mengikut permintaan penyewa.
Lelaki terbabit dan barang rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM428,000 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh untuk tindakan lanjut UPNP.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 153 Enakmen Mineral 2001 Pahang.


