SEORANG wanita warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah rumah berkunci di Taman Azizul Rahman, Kamunting, di Ipoh hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 1.05 petang meminta bantuan membuka pintu rumah berkenaan.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting digerakkan ke tempat kejadian dan tiba di lokasi lapan minit kemudian.
“Tindakan operasi adalah membuka pintu rumah dengan menggunakan peralatan khas Paratech.
“Sebaik sahaja pintu rumah berjaya dibuka, terdapat seorang wanita warga emas berusia 64 tahun di ruang tamu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shazlean, mayat wanita itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 1.56 petang.


