Polis rampas dadah RM2 juta, empat ‘runner’ termasuk wanita warga asing ditahan

POLIS menahan empat pengedar atau runner termasuk seorang wanita warga asing bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM2 juta dalam beberapa serbuan di bandar raya ini sejak semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti penyimpanan dan pengedaran yang dilakukan oleh kesemua suspek.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing yang kedua-duanya merupakan runner dadah di sekitar kawasan Georgetown.

Katanya, hasil soal siasat, kedua-dua suspek membawa polis ke tempat penyimpanan dadah di sebuah tempat letak kereta tidak jauh daripada lokasi mereka ditangkap.

“Pemeriksaan di dalam kereta terbabit menemukan empat buah beg dan satu kotak yang mengandungi lebih 12,151 gram serbuk dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

“Turut ditemukan 41 peket plastik mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin seberat 51.40 gram, 30 biji pil ekstasi dan 10 biji pil eramin 5,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azizee, siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada tangkapan dua lagi rakan jenayah mereka yang juga merupakan runner dadah di sekitar Georgetown.

Katanya, siasatan mendapati aktiviti pengedaran dadah dijalankan sindiket ini aktif sejak Julai tahun lalu.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati tiga daripada suspek positif dadah selain mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 40 tahun kini direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 8 Januari depan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan,” tambahnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img