SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka kertas siasatan berhubung kandungan dalam talian terbitan China Press yang didakwa palsu melibatkan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika Istiadat Pembukaan Parlimen Penggal Ke-15, semalam.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memberitahu siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi yang berpotensi menyebabkan kekeliruan awam serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
‘’Pihak China Press telah dipanggil ke ibu pejabat MCMC untuk rakaman keterangan petang ini,’’ kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, MCMC menggesa orang ramai menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan kandungan dalam talian secara rasmi melalui saluran aduan MCMC di portal aduan.mcmc.gov.my, bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan fakta dan proses yang sah.
MCMC turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, komen melampau atau kenyataan bersifat fitnah, khususnya di media sosial dan memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang berjalan.


