SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah menurunkan lebih 10,000 akaun palsu yang menyalahgunakan identiti kerabat diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata,tindakan itu dilakukan bagi mengelak identiti Kerabat Diraja dipergunakan atau dijadikan alat khususnya untuk tujuan penipuan atau penyelewengan.
Katanya, walaupun MCMC giat mengesan dan menurunkan akaun berkenaan, trend penggunaan identiti berkait kerabat diraja tidak berkurangan.
Beliau berkata, hampir setiap hari MCMC memaklumkan jumlah akaun palsu yang menggunakan nama-nama antara lain Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah; Raja Muda Pahang, Tengku Hassanal; Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail.
“Ia terlalu banyak…jadi tuanku (Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim) telah menitahkan supaya saya, Kementerian Komunikasi dan MCMC mengambil tindakan pantas serta tegas, termasuk menggunakan ONSA untuk memastikan platform media sosial patuh dengan undang-undang negara Kita.
“Ia termasuk tidak membenarkan kerabat diraja terutama daripada menjadi mangsa atau diperalat identiti mereka untuk tujuan fraud, penipuan dan scam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Penyiaran Digital anjuran Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) di Kuala Lumpur, hari ini.
Fahmi berkata, beliau dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCM) kecewa dengan sikap syarikat berkenaan yang langsung tidak memandang serius isu tersebut.
“Tetapi kita akan tegas melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA). Pada waktu ini ada instrumen subsidiari yang perlu disiapkan dan diwartakan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC). Kita jangkakan mungkin dalam tempoh beberapa minggu akan datang kita boleh laksanakan,” katanya.


