SEORANG lelaki disahkan maut dalam kemalangan dua lori tangki di Kilometer 40.6 (arah utara) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) antara laluan Kulai ke Sedenak, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor berkata, kejadian melibatkan dua lori tangki termasuk yang membawa muatan tepung serta sebuah lori tangki yang tidak membawa muatan.
Beliau berkata, sebuah lori tangki maut di tempat kejadian manakala seorang lagi lelaki yang juga pemandu lori tangki membawa muatan tepung cedera.
Katanya, dalam kemalangan itu lori tangki tanpa muatan terbakar 80 peratus.
“Pemandu lori berkenaan berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum anggota Bomba tiba ke lokasi kejadian. Anggota bomba mengeluarkan pemandu lori yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya.


