MIC akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan penyertaan rasmi parti itu ke dalam Perikatan Nasional (PN).
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, walaupun PN sudah memberi lampu hijau kepada MIC untuk menyertai gabungan pembangkang itu, penyertaan perlu dilaksanakan mengikut proses rasmi.
“Saya akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam masa terdekat bagi membincangkan butiran lanjut mengenai perkara ini dan merasmikan kerjasama antara MIC dan PN,” katanya.
Vigneswaran berkata demikian kepada media selepas menghadiri sambutan Ponggal di Shah Alam hari ini, lapor Berita Harian.
Pada Khamis lalu, bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan gabungan itu meluluskan permohonan MIC untuk menyertai PN.
Menurut Muhyiddin, PN sudah mencapai kata sepakat untuk menerima parti berasaskan kaum India itu seawal tahun lalu dan menunggu MIC melakukannya secara rasmi.
Ini kali pertama MIC meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai blok pembangkang sejak kemerdekaan.
Spekulasi mengenai kemungkinan MIC keluar daripada BN sudah lama berlegar dan memuncak sejak Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 pada November lalu.
Pada perhimpunan itu, perwakilan turut meluluskan resolusi memberi kuasa kepada kepimpinan parti menilai semula kedudukan MIC dalam BN.
Mereka antara lain mendakwa peranan yang semakin mengecil dalam gabungan itu sebagai alasan utama.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dilaporkan berkata, gabungan itu masih utuh dan MIC tidak pernah memaklumkan secara rasmi kepada BN mengenai hasrat meninggalkan BN.


