SEORANG wanita maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum digilis dua kenderaan di Kilometer 405.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Hulu Selangor awal pagi ini.
Nahas berlaku kira-kira jam 6.20 pagi ketika mangsa yang berusia 45 tahun menunggang motosikal jenis SYM ADXT dipercayai dalam perjalanan dari Rawang ke Sik, Kedah.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan di lorong tengah namun hilang kawalan menyebabkan dia tercampak ke tengah lebuh raya.
“Mangsa kemudian digilis sebuah lori dan kereta dari arah sama tidak sempat mengelak.
“Tidak lama kemudian, sebuah motosikal jenis BMW ditunggang lelaki berusia 62 bersama pembonceng cuba mengelak mangsa, namun kedua-dua mereka turut dilanggar sebuah van,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Ibrahim, penunggang wanita terbabit yang bekerja sebagai pembantu operasi klinikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
“Penunggang dan pembonceng motosikal jenis BMW yang cedera turut dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Katanya lagi, polis kini sedang mengesan dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan terbabit.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya.


