Penagih dadah ditahan dakwa bapa kerap terjatuh, rupa-rupanya dipukul hingga meninggal dunia

POLIS menahan seorang lelaki yang mendakwa bapanya kerap terjatuh sewaktu dibawa menjalani pemeriksaan hospital, namun warga emas itu sebenarnya cedera akibat dipukul sehingga meninggal dunia.

Kes itu terbongkar selepas bapa lelaki itu yang berusia 76 tahun  dalam keadaan separa sedar dibawa oleh anaknya untuk menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras pada jam 3 petang, 19 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa dibawa ke zon merah hospital berkenaan oleh anaknya berusia 40 tahun yang mendakwa bapanya terjatuh beberapa kali di rumah mereka di Rancangan Rumah Murah Seri Kembangan.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan hospital mendapati corak lebam pada badan mangsa tidak teratur dan disyaki akibat kecederaan disebabkan objek tumpul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat itu, katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan anak mangsa di lobi Jabatan Kecemasan HCTM kira-kira jam 9.30 malam hari yang sama.

“Kes ini pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tata Cara Jenayah sehingga 30 Januari ini.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau jenayah dan narkotik, manakala saringan ujian air kencing didapati negatif,” ujarnya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan kepala disebabkan hentakan objek tumpul kelmarin.

Beliau berkata, berikutan kematian mangsa, siasatan kes telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes ini masih dalam peringkat siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Serdang di talian 03-8074 2222.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img