MIC bakal mengumumkan keputusan muktamad parti itu sama ada akan terus kekal dalam Barisan Nasional (BN) atau keluar daripada parti komponen tersebut, pada Februari depan iaitu selepas perayaan Thaipusam.
Timbalan Presiden parti, Datuk Seri M Saravanan berkata, keputusan itu mengambil kira kesibukan masyarakat India ketika ini yang memberi tumpuan untuk persediaan menyambut Thaipusam.
“Jadi, kita akan membuat keputusan selepas Thaipusam. Mungkin awal atau pertengahan Februari depan. Januari ini ada Perhimpunan Agung UMNO… jadi kita selesaikan dulu,” katanya.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah ditemui pemberita pada majlis penyampaian sumbangan peralatan pertanian kepada peniaga dalam kalangan B40 Parlimen Tapah di Bangunan MIC Bahagian Tapah, Perak hari ini, lapor BH.
Sumbangan dengan nilai keseluruhan RM150,000 itu adalah dalam bentuk khemah kanopi kepada 20 penjaja, mesin pemotong rantai (lapan), mesin pengisar rumput (tujuh) dan mesin rumput sandang (13), dengan penerimanya termasuk penjaja, pekebun serta penternak.
Yang turut hadir, Pengerusi BN Tapah yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tapah, Khairul Azmi Ghazali.
Meskipun wujud desas-desus mengenai usul untuk MIC keluar daripada BN, Saravanan memaklumkan bahawa hubungan parti itu dalam gabungan berkenaan masih aman dan harmoni.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan muktamad sama ada MIC kekal dalam BN atau sebaliknya hingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), diserahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) parti itu.
“Itu saya serah kepada Majlis Tertinggi…. kalau saya kata kekal, nanti orang ingat saya yang buat keputusan.
“Namun setakat ini, kita nampak semuanya aman damai. Jadi, kita kekalkanlah keharmonian. Setakat ini, MIC masih dengan BN,” katanya.


