MIC belum putuskan sertai PN – Saravanan

TIMBALAN Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menolak dakwaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa parti itu secara rasmi telah menyertai gabungan berkenaan.

Saravanan menegaskan bahawa Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

“Tiada keputusan dibuat oleh MIC untuk menyertai PN. Saya sudah jelaskan sejak awal lagi… kita akan serahkan kepada CWC untuk membuat keputusan dan setakat ini CWC belum memutuskan apa-apa,” katanya, lapor FMT.

Ahli Parlimen Tapah itu turut berkata, MIC tidak mengemukakan permohonan untuk menyertai PN, sebaliknya hanya membuat pertanyaan berhubung parti komponen.

“Terdapat tawaran daripada bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk MIC menyertai PN, jadi kami hanya mengemukakan pertanyaan,” katanya.

Saravanan juga berkata, beliau tidak mengetahui mengenai sebarang pertemuan yang dirancang antara Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Takiyuddin malam ini.

“Presiden tentu akan memaklumkan kepada saya,” tambahnya.

Terdahulu, Takiyuddin memaklumkan, penyertaan MIC ke dalam PN telah diluluskan oleh Majlis Tertinggi gabungan itu dan beliau akan bertemu Vigneswaran malam ini untuk menyerahkan surat rasmi mengesahkan penyertaan parti berkenaan.

Pada Januari, Vigneswaran dilaporkan berkata, kepimpinan tertinggi MIC akan bermesyuarat untuk membincangkan penyertaan rasmi ke dalam PN walaupun gabungan itu telah meluluskan permohonan parti tersebut.

Perbincangan mengenai kemungkinan MIC meninggalkan Barisan Nasional (BN) timbul sejak sekian lama, khususnya selepas perhimpunan agung parti pada November lalu apabila perwakilan memberi mandat kepada kepimpinan untuk mempertimbangkan langkah tersebut susulan ketidakpuasan hati terhadap peranan dan relevan parti.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin UMNO berulang kali menolak spekulasi itu. Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, gabungan itu tidak menerima sebarang makluman rasmi daripada MIC dan menegaskan parti itu masih kekal dalam BN.

Pemimpin MIC juga menyertai sesi pemukiman kepimpinan BN baru-baru ini, sekali gus memberi gambaran bahawa parti itu akan terus kekal dalam gabungan tersebut.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img