JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menahan seorang lelaki serta merampas dadah berbahaya disyaki jenis methamphetamine seberat 24,486 gram bernilai kira-kira RM783,552 dalam satu operasi di Lapangan Terbang Miri.
Pengarah JKDM, Norizan Yahya berkata, suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Miri pada 27 Februari 2026, kira-kira jam 5.15 petang.
Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan sebaik tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas pihaknya menerima maklumat mengenai bagasi mencurigakan yang dipercayai mengandungi bahan terlarang.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 21 bungkusan kuning teh Cina dan tiga bungkusan biru berlabel produk buah manggis yang mengandungi ketulan kristal disyaki methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua barang kes disita di bawah Seksyen 30(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi menyeludup bahan narkotik melalui perkhidmatan penerbangan domestik dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran, dengan jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.


