DUA lelaki termasuk warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Burma, di Georgetown, hari ini.
Warga emas dilaporkan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku pada jam 11.59 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal pertama yang dalam perjalanan pulang ke rumah bertindak mengubah laluan dari kiri dan masuk ke simpang kanan Lengkok Burma secara tiba-tiba.
“Tindakan itu menyebabkan penunggang motosikal kedua dan ketiga yang bergerak lurus di lorong tengah, terlanggar motosikal pertama dari bahagian belakang.
“Akibat pelanggaran itu penunggang motosikal pertama yang juga lelaki warga emas berusia 71 tahun maut di tempat kejadian.
“Manakala penunggang motosikal kedua yang berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di HPP pada jam 1.15 petang,” katanya, lapor Berita Harian.
Abdul Rozak berkata, wanita warga tempatan berusia 19 tahun yang juga merupakan penunggang motosikal ketiga pula mengalami cedera ringan di kaki kanan.
Katanya, bedah siasat terhadap dua mangsa itu sudah dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HPP, hari ini.
“Laporan mengesahkan punca kematian bagi kedua-dua mangsa yang meninggal dunia adalah kecederaan di bahagian kepala konsisten dengan kemalangan jalan raya.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.


