SEORANG penuntut lelaki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Air Terjun Kedondong, Batang Kali, petang tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian melibatkan mangsa yang berusia lingkungan 20-an itu kira-kira jam 4.45 petang.
Menurut kenyataan itu, sebaik sahaja menerima panggilan, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke tempat kejadian yang terletak sejauh 30 kilometer.
“Mangsa kemudian ditemukan kira-kira 10 meter dari tempat dia terakhir dilihat dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” kata kenyataan itu hari ini.
Kata kenyataan itu lagi, saksi memberitahu pasukan penyelamat bahawa mangsa dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan rakannya.
Air Terjun Kedondong terletak dalam kawasan rekreasi Sungai Kedondong di Jalan Batang Kali ke Genting Highlands, yang menjadi tumpuan untuk kegiatan riadah dan perkelahan.


