MAJLIS Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengambil tindakan menunda sebanyak 1,139 kenderaan terbiar di kawasan pentadbirannya berdasarkan Garis Panduan Kenderaan Terbiar, tahun lalu.
Menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan itu, sepanjang tempoh yang sama, sebanyak 281 kenderaan dilupuskan menggunakan garis panduan tersebut.
Katanya, antara kekangan untuk mengatasi isu kereta terbiar adalah segelintir pemilik kenderaan tidak mahu membatalkan hak milik kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meskipun tidak dikenakan sebarang kos bagi proses berkenaan.
“MPAJ mengalu-alukan pemilik kenderaan yang berhasrat menyerahkan kenderaan bagi tujuan dilupuskan secara sukarela selepas pembatalan hak milik dibuat.
“Tiada kos dikenakan kepada pemilik sepanjang proses penyerahan berkenaan dan MPAJ turut menyediakan perkhidmatan menunda kenderaan yang selesai pembatalan hak milik untuk ditunda masuk ke dalam depoh MPAJ,” katanya, lapor BH.
Menurut kenyataan itu, MPAJ melupuskan kenderaan kereta terbiar berdasarkan garis panduan terbabit berasaskan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bil 2 2020.
MPAJ berkata, pihaknya menyediakan Program Pusat Sehenti Kenderaan Terbiar MPAJ bagi mengatasi masalah berkenaan.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Pusat Sehenti Kereta Terbiar MPAJ, orang awam boleh terus menghubungi Jabatan Penguatkuasaan MPAJ di talian 03-4285 7024.


