KEDUDUKAN Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan dalam mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu pada Khamis ini.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Muhyiddin akan kekal sebagai pengerusi jika majoriti anggota tidak bersetuju dengan peletakan jawatannya.
“Jika MT PN meluluskan peletakan jawatan pengerusi PN, baru diadakan perbincangan untuk pemilihan pengerusi PN baharu.
“Kalau tak lulus maka legally beliau kekal sebagai pengerusi, tak perlulah lantik pengerusi yang baharu,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur hari ini.
Mesyuarat MT PN akan di Ibupejabat Gerakan akan melibatkan 16 anggota yang masih memegang jawatan dalam gabungan itu.
Takiyuddin dalam pada itu berkata, keputusan untuk tidak menamakan Muhyiddin dalam senarai hadir ke Mesyuarat luar biasa MT PN itu susulan tindakan Ahli Parlimen Pagoh tersebut yang mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Atas sebab itu, kata beliau hanya ahli MT PN yang berbaki dipanggil untuk hadir ke mesyuarat berkenaan.
Tambahnya, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang turut meletakkan jawatan sebelum ini, turut tidak disenarai sebagai yang akan hadir dalam mesyuarat itu.
“Pandangan undang-undang yang kami terima adalah dari segi undang-undang, (peletakan jawatan Muhyiddin) ini sudah berkuat kuasa (mulai 1 Januari lalu).
“Tapi tak apalah, walaupun demikian, (pemakluman peletakan jawatan itu) perlu dibawa kepada MT PN untuk diluluskan juga,” katanya.
Beberapa pemimpin Bersatu mempersoalkan mengapa nama Muhyiddin tak disenarai sebagai mereka yang perlu hadir.
Muhyiddin dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebelum ini menyatakan kekal dengan pendirian untuk terus meletak jawatan Pengerusi PN.
Mengenai jemputan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ke mesyuarat, Takiyuddin berkata, kehadiran Ahli Parlimen Larut tersebut adalah atas kapasiti Timbalan Pengerusi PN yang mewakili Bersatu.
“Oleh kerana Presiden Bersatu iaitu Muhyiddin menjadi Pengerusi PN, maka Bersatu melantik Timbalan Presidennya iaitu YB Datuk Seri Hamzah menjadi Timbalan Pengerusi (PN),” katanya.


