Netanyahu mohon maaf kepada Qatar berikutan serangan 9 September

BENJAMIN Netanyahu akhirnya memohon maaf dan menyatakan penyesalan kepada Qatar berikutan serangan peluru berpandu Israel terhadap sasaran Hamas di Qatar  pada 9 September lalu yang mengakibatkan kematian seorang anggota tentera Qatar.

Presiden Israel itu yang dianggap penjenayah antarabangsa berikutan tindakan rejim Zionis membunuh rakyat Palestin di Gaza  mengakui bahawa serangan itu, yang dilancarkan ketika rundingan tebusan sedang berlangsung, telah melanggar kedaulatan Qatar dan memberi jaminan bahawa tindakan sebegitu tidak akan berulang.

Beliau membuat permohonan maaf dan memberi jaminan itu ketika mengadakan panggilan telefon tiga hala dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani di Washintong, awal pagi ini (waktu Malaysia).

Kementerian Luar Negeri Qatar memaklumkan, Sheikh Mohammed membuka panggilan itu dengan mengucapkan terima kasih kepada Trump atas usahanya mempromosikan keamanan di rantau ini.

Beliau menyambut baik jaminan bahawa Qatar tidak akan berdepan serangan seumpama itu pada masa hadapan, dan menekankan komitmen AS terhadap perkongsian pertahanannya dengan negara tersebut.

Sheikh Mohammed juga mengulangi pendirian tegas Qatar menentang sebarang pencerobohan terhadap kedaulatannya, dengan menegaskan bahawa melindungi warganegara dan penduduk adalah keutamaan utama.

Beliau menyambut baik jaminan dan komitmen Israel mengenai keselamatan Qatar.

Sheikh Mohammed dan Netanyahu turut membincangkan langkah-langkah berpotensi untuk menamatkan perang di Gaza serta meneroka cara untuk meningkatkan persefahaman bersama dan keamanan di Timur Tengah.

 Kedua-dua pemimpin bersetuju dengan cadangan Trump untuk menubuhkan satu mekanisme tiga hala bagi meningkatkan koordinasi, memperbaiki komunikasi, menyelesaikan rungutan bersama, dan mengukuhkan usaha kolektif dalam mencegah ancaman.

Mereka menekankan komitmen bersama untuk bekerjasama secara konstruktif dan menghapuskan salah faham, di samping membina hubungan jangka panjang yang telah lama wujud antara kedua-dua negara dengan Amerika Syarikat.

Trump memuji kedua-dua pemimpin kerana kesediaan mereka mengambil langkah ke arah kerjasama yang lebih erat demi kepentingan keamanan dan keselamatan untuk semua.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img