Trump umum Netanyahu setuju pelan damai, gencatan senjata segera di Gaza

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dengan pelan damai yang akan membawa kepada gencatan senjata segera, diikuti dengan pelucutan senjata Hamas dan pengunduran Israel dari Gaza.

Pada sidang awal pagi (waktu Malaysia) di Washington selepas mengadakan pertemuan dengan Netanyahu di Rumah Putih, Trump berkata,  Hamas masih belum memberikan persetujuan, tetapi beliau berharap kumpulan itu menyokong dan yakin persetujuan daripada semua pihak adalah “amat hampir.”

Pelan damai 20 perkara itu menyatakan bahawa apabila kedua-dua pihak bersetuju, “perang akan segera berakhir” dengan pengunduran Israel disejajarkan dengan pembebasan tebusan terakhir yang ditahan Hamas. Dalam tempoh awal itu, akan ada gencatan senjata.

Perkara utama termasuk penempatan “pasukan penstabilan antarabangsa sementara” dan pembentukan sebuah pihak berkuasa peralihan yang diketuai oleh Trump.

Perjanjian itu akan menuntut pejuang Hamas melucutkan senjata sepenuhnya dan dikecualikan daripada sebarang peranan dalam kerajaan masa depan manakala bagaimanapun, mereka yang bersetuju dengan “hidup bersama secara aman” akan diberikan pengampunan.

Selepas pengunduran Israel, sempadan akan dibuka untuk bantuan dan pelaburan. Selain itu,rakyat Palestin tidak akan dipaksa meninggalkan tanah mereka, sebaliknya dokumen itu menyatakan, “kita akan menggalakkan orang ramai untuk terus tinggal dan menawarkan mereka peluang membina Gaza yang lebih baik.”

Perang Gaza tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang membunuh 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Serangan balas Israel telah membunuh 66,055 penduduk Palestin, juga kebanyakannya orang awam, menurut angka Kementerian Kesihatan di wilayah yang ditadbir Hamas itu yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img