SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin semalam, berikutan kegagalan individu terbabit memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang telah diserahkan sebelum ini.
Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan pada 13 Feb lepas, Notis Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 telah diserahkan melalui firma guaman Tetuan Zharif Nizamuddin dan SPRM menerima permohonan lanjutan masa daripada pihak peguam pada 16 Februari lalu.
Berikut kenyataan penuh SPRM:
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin memaklumkan perkembangan terkini siasatan di bawah Ops Godfather yang dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36
Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Latar Belakang Siasatan Siasatan ini bermula susulan pendedahan Pandora Papers pada tahun 2021 oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) yang mendedahkan kewujudan syarikat dan aset luar pesisir yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Che Abdul Daim bin Zainuddin, ahli keluarga serta sekutu perniagaan beliau.
Maklumat tersebut menjadi asas kepada risikan awal dan pembukaan kertas siasatan oleh SPRM pada tahun 2023. Sepanjang tempoh Jun 2023 hingga November 2023, SPRM telah menyerahkan notis-notis di bawah Seksyen 36(1)(a) dan 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kepada Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan anak-anak mereka bagi tujuan pengisytiharan harta.
Sepanjang tempoh pematuhan notis di bawah Seksyen 36(1)(a) dan Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009, SPRM telah memberikan lima (5) kali lanjutan masa selain tempoh notis asal bertarikh 7 Jun 2023.
Lanjutan masa pertama dipohon pada 6 Julai 2023; lanjutan masa kedua pada 10 Ogos 2023; lanjutan masa ketiga pada 11 September 2023; lanjutan masa keempat pada 11 Oktober 2023; dan lanjutan masa kelima pada 14 November 2023.
SPRM telah memaklumkan lanjutan kelima tersebut adalah lanjutan terakhir. Secara keseluruhannya, tempoh yang diberikan untuk pematuhan adalah selama enam (6) bulan.
Walau bagaimanapun, hasil semakan dan analisa terhadap maklumat yang dikemukakan mendapati masih terdapat kegagalan dan ketidakpatuhan dalam pengisytiharan beberapa aset sebagaimana dikehendaki di bawah notis tersebut. Susulan itu, pada 23 Januari 2024, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.
Pada 29 Januari 2024, Allahyarham Tun Daim turut dituduh di mahkamah atas kesalahan yang sama.
Perkembangan Baharu Siasatan (2025-2026). Pada 20 November 2025, SPRM membuka enam laporan baharu di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 terhadap beberapa individu susulan maklumat tambahan daripada agensi penguatkuasaan luar negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.
Hasil siasatan telah memdapati individu-individu tersebut gagal mematuhi sepenuhnya keperluan notis, termasuk ketidakpatuhan dalam mengisytiharkan aset bernilai tinggi serta akaun bank.
Oleh itu, enam (6) kertas siasatan telah dibuka terhadap Na’imah binti Abdul Khalid, Josephine Premla Sivaretnam dan empat anak Allahyarham Tun Daim iaitu Asnida Binti Abdul Daim, Md Wira Dani Bin Abdul Daim, Muhammed Amir Zainuddin Bin Daim, Muhammed Amin Zainuddin Bin Daim. Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana gagal mengisytiharkan aset secara menyeluruh.
Tindakan Notis Menghadiri Pemeriksaan.
Pada 13 Februari 2026, Notis Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 telah diserahkan melalui firma guaman Tetuan Zharif Nizamuddin.
SPRM turut menerima permohonan lanjutan masa daripada pihak peguam pada 16 Februari 2026. Sehubungan itu, SPRM telah memberi kata putus untuk penama-penama hadir ke pejabat SPRM pada 11 Mac 2026. Akan tetapi, sehingga 26 Februari 2026, tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi penama juga tidak berjaya.
Pihak peguam sebelum ini memaklumkan bahawa anak guam mereka berada di luar negara dan mereka juga menghadapi masalah untuk berhubung dengan mereka.
Berdasarkan maklumat terkini, SPRM percaya tiga (3) individu berada di luar negara manakala seorang (1) berada dalam negara.
Pengeluaran Notis Kesan Individu
Berikutan kegagalan memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua (2) notis rasmi yang telah diserahkan, SPRM telah mengeluarkan Notis Kesan Individu sebagai tindakan susulan yang sah di sisi undang-undang.
SPRM ingin menegaskan bahawa Notis Kesan Individu bukan satu bentuk hukuman atau “Wanted List”. Notis tersebut juga bukan bertujuan untuk memalukan mana-mana pihak, sebaliknya merupakan mekanisme prosedural bagi mengesan dan memastikan kehadiran membantu siasatan.
Tindakan ini diambil setelah pelbagai ruang dan tempoh munasabah telah diberikan, termasuk lanjutan masa sebelum ini. SPRM menegaskan bahawa semua individu adalah tertakluk kepada prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) dan dilayan secara adil tanpa mengira latar belakang atau kedudukan.
Sehubungan itu, SPRM menyeru keempat-empat individu berkenaan supaya tampil hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya dengan segera bagi membantu siasatan dan mengelakkan sebarang tindakan lanjut menurut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
SPRM kekal komited untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan berintegriti demi kepentingan negara.


