ISTERI kepada penunggang motosikal yang maut dirempuh kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh dadah dan alkohol Ahad lalu berhasrat memfailkan saman berjumlah RM1 juta terhadap tertuduh yang didakwa membunuh suaminya itu.
Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, dia turut bersyukur pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan bukannya di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan.
“Pertama sekali, syukur, Alhamdulillah. Saya rasa sedikit lega hari ini. Satu sahaja saya nak cakap, nyawa dibalas nyawa,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret Klang hari ini bersama peguam Mohd Faizi Che Abu yang dijangka memohon menjadi peguam pemerhati dalam prosiding pendakwaan terhadap tertuduh kes itu.
Tambahnya, keputusan mahkamah itu sedikit sebanyak mengubat rasa sedih dan membantunya menerima kenyataan dengan lebih tenang.
Pada masa yang sama, dia turut berkongsi anaknya masih tidur berpelukan baju arwah suaminya.
“Saya harap anak-anak saya dapat kuat, dan mereka tidak berasa bersalah atau tertekan kerana kehilangan ayah mereka,” katanya sambil menambah dia dan anak-anaknya akan pulang ke kampung di Batu Kurau, Perak.
Nor Nadia merupakan balu kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dalam kemalangan akibat dirempuh pemandu terbabit Ahad lalu.
Ibu kepada tiga orang anak itu yang berpakaian jubah hitam sebelum itu kelihatan sugul ketika duduk di galeri awam.
Sementara itu, Mohd Faizi ketika ditemui pemberita berkata, jumlah sebenar tuntutan pampasan dalam kes saman sivil ini belum dimuktamadkan kerana terdapat pengiraan yang perlu dibuat berlandaskan beberapa faktor.
“Di sisi undang-undang, kita tak boleh tuntut pampasan berdasarkan emosi kerana ada pengiraan yang akan diambil kira antaranya gaji dan tanggungan keluarga arwah.
“Saya akan berbincang dengan anak guam, tetapi jumlah itu akan dibuat berdasarkan kepada prinsip undang-undang serta ketetapan kes-kes terdahulu,” katanya.
Terdahulu tertuduh, R Saktygaanapathy, 28, didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas dua pertuduhan iaitu membunuh penunggang motosikal berkenaan dan memasukkan dadah dalam badan.
Mengikut pertuduhan pertama, juruteknik itu didakwa mengakibatkan kematian Amirul Hafiz di Jalan Raya Barat pada jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah disyaki jenis benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang pada jam 3.30 petang tarikh sama.


